" Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia yaitu rahim . Perkataan ini diambil dari nama Allah, yang bermaksud Maha Penyayang. Kemuliaan dan ketinggian darjat seseorang di sisi Allah bergantung kepada taqwanya , sama ada lelaki atau perempuan. "
Kasihnya Allah kepada wanita!
Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan layanan istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, ism atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.
Allah sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka.
1. Gelaran bagi isteri di dalam Al Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri adalah dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah husband manakala perkataan untuk isteri ialah wife. Dalam bahasa Perancis, perkataan untuk suami ialah mari manakala femme untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza zaujuh dan zaujati. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu zaujuh yang bermakna pasangan. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya . Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut imraah, kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.
2. Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:-
a. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan di bawah telapak kaki dan bukan di dalam tangan atau di sisi seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan menghambakan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
b. Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.
c. Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina perempuan-perempuan melainkan orang yang hina. (Hadis riwayat Ibnu Asakir)
d. Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
e. Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang ia suka. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim) Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.
3. Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama Yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia yaitu rahim . Perkataan ini diambil dari nama Allah, yang bermaksud Maha Penyayang . Sudah tentulah Allah tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi-Nya. Sudah tentu Allah akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Allah tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaan Allah dan memberi makan kepada apa yang Allah ciptakan. Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Allah kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Allah.
4. Diberi Pahala Yang Berterusan
Wanita disebut kurang dari sudut agama , tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas . Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Allah tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu. Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaklah pahala yang Allah sediakan untuknya.
Aduh! Maha Penyayangnya Allah kepada wanita. Maha Baiknya Allah kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Allah tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.
0 Comments
AMBIL PERHATIAN :
Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.
Komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis komen itu sendiri. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan jika berlaku masalah dengan komen tersebut. Komen yang berbentuk iklan, mengandungi soalan yang tidak berkaitan dan pernyataan bersifat provokasi tidak akan dilayan dan disiarkan.
Komen dari "Unknown Profile" tidak akan disiarkan kerana identiti anda tidak dapat dijejaki. Sila tinggalkan emel anda untuk dapatkan respon dari pemilik blog.