Pakar psikologi kanak-kanak mengatakan bahawa didikan yang baik mestilah dilakukan dengan lemah lembut dan menyentuh ke hati anak. Bukannya menerapkan gaya kekerasan dan tekanan yang boleh merosakkan jiwa anak. Tetapi, masalah nya... ramai ibu bapa yang tertekan ketika berhadapan dengan anak mereka.

Contoh paling ketara - ketika anak menghadapi exam di sekolah. Ibu bapa yang lebih stres dibandingkan dengan anak. Keadaan ini sebenarnya boleh menjejaskan tumpuan anak kerana dia secara lahiriah menghadapi 2 cabaran - exam itu sendiri dan ibu bapa yang mahukan dia sukses dengan cemerlang. Seterusnya, mereka tidak dapat menikmati suasana belajar itu yang kondusif dan menceriakan. Tak hairan la jika minat mereka terhadap pelajaran mudah hilang.

Jika ibu bapa mahu mendidik iman ke dalam jiwa anak, teknik terbaik adalah dengan memujuk, mengajak melakukan bersama-sama dan memberi gambaran mudah tentang keimanan. Setiap ibu bapa perlu meluangkan masa setiap hari untuk mendengar cerita anak, menjawab soalan mereka dan berinteraksi menggunakan imaginasi kanak-kanak yang ceria.

Bagaimanakah iman boleh tertanam apabila ibu bapa sentiasa sibuk dengan urusan duniawi masing-masing? Ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada guru atau pengasuh. Membiarkan anak hanya menonton televisyen, bermain game di komputer atau berinternet sentiasa agar anak tidak bosan.

Sebenarnya mereka telah terlepas peluang mendampingi anak. Usia muda anak akan bertambah. Selepas itu tiada lagi peluang untuk ibu bapa memeluk dan mencium anak. Masa kanak-kanak itu akan berlalu tanpa dimanfaatkan.

Rugi nya ibu bapa itu!

Pernah terjadi di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., seorang bapa pergi berjumpa beliau bersama anak lelakinya. Bapa ini mengadu tentang kederhakaan anaknya itu. Umar bertanya adakah itu benar? Lalu anak itu menjelaskan bagaimana keadaan bapanya, yang tidak memberinya nama Islam, tidak mendidiknya cara Islam, tidak tahu al-Quran dan memilih ibu yang tidak berilmu. Umar berkata: Engkau telah menderhaka kepada anakmu sebelum dia menderhaka kepadamu.

Rasulullah s.a.w juga telah memberi teladan yang baik bagaimana mendidik anak-anak bagina sendiri dan anak-anak para sahabat yang mencintai baginda s.a.w. Mereka hidup menghirup keharuman nafas wahyu dari sisi Rasulullah s.a.w. Setelah dewasa, mereka semua umpama binta-bintang yang berkilauan di sekeliling Rasulullah s.a.w.

Dari situ, kita boleh membuat kesimpulan betapa pentingnya mendampingi kanak-kanak, diajar kebaikan, ditanam keimanan, dibaja dengan ilmu dan diuji dengan sedikit kesusahan. Seperti mana yang dianjurkan oleh agama, kebiasaan, adat dan budaya kita.

Ibu la yang paling lama berada di rumah, paling dekat dengan anak-anak, paling sabar menghadapi kerenah anak-anak. Rumahtangga akan hilang serinya jika seorang ibu tidak berperanan dengan maksimum. Setiap ibu adalah pahlawan keluarga, guru yang pertama di dunia anak, kekasih yang setia, teman yang sporting dan penyelamat jiwa anak-anak.

Namun demikian seorang wanita mustahil menjadi ibu yang hebat tanpa sokongan suami. Peranan suami amat diperlukan untuk mendidik isteri menjadi wanita yang sabar dan kuat iman.

Demikianlah maksud sebenar ayat al-Quran yang menyatakan lelaki itu pemimpin ke atas wanita. Besar tanggungjawab isteri, besar lagi amanah yang suami wajib tanggung di akhirat nanti.